Rabu, 26 Julai 2017 | 1:19pm
PENGARAH Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee. - Foto Aswadi Alias
PENGARAH Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee. - Foto Aswadi Alias

Operasi diperhebat cari Suhaimi

KUALA TERENGGANU: Gerakan mencari seorang pemancing dari Kuala Lumpur yang hilang selepas terjatuh dari bot di Perairan Kuala Terengganu Isnin lalu diperhebatkan hari ini membabitkan penggunaan pesawat.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee, berkata sebuah pesawat Bombardier CL415MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikerah ke lokasi kejadian untuk mengesan melalui udara pagi ini.

Pemancing terbabit, Suhaimi Muhamad, 41, dari Taman Puncak Utama, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, bersama 11 rakannya dikatakan keluar memancing menaiki sebuah bot di sekitar perairan Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Bot dinaiki mangsa patah kemudi ketika mereka memancing berhampiran pelantar minyak Mangkuk, jam 7.38 petang, Isnin lalu.

Katanya, rakan mangsa yang menyedari Suhaimi terjatuh cuba menyelamatkannya dengan mencampakkan tali dan jaket keselamatan, tetapi gagal dan mangsa terus dihanyutkan arus deras.

"Kumpulan pemancing itu meminta bantuan kru bot pelantar minyak untuk meminta bantuan daripada APMM.

"Justeru, operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) mangsa diaktifkan dan kapal KM Jujur diarahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 65 batu nautika daripada pantai Kuala Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang dikerah dalam SAR pada jarak 10 batu nautika dari kawasan perairan pelantar minyak tidak menemui sebarang petunjuk.

"Setakat ini tiga aset milik APMM iaitu KM Jujur, KM Nusa dan sebuah pesawat serta dibantu kapal KD Handalan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Tanjung Gelang, Kuantan membabitkan 90 pegawai dan anggota sedang berusaha untuk mencari dan menyelamat mangsa," katanya.

Berita Harian X