Jumaat, 21 Julai 2017 | 6:28pm
KETUA Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ruslan Abdullah.- Foto Suzaini sulaiman
KETUA Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ruslan Abdullah.- Foto Suzaini sulaiman

Mekanik langgar polis direman 4 hari

KUALA SELANGOR: Seorang mekanik ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang konstabel polis, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, perintah reman itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini, bagi memudahkan siasatan terhadap suspek.

"Pada masa sama, kami juga meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya dapat tampil membantu siasatan.

"Semalam, suspek ditahan kira-kira jam 6 petang di rumahnya di Sekinchan selepas dia melarikan diri dari lokasi kejadian, dipercayai dengan bantuan seseorang kerana kereta dipandunya remuk teruk.

"Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian," katanya.

Sebelum itu, suspek berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya di Sekinchan kira-kira jam 6 petang semalam dalam operasi diketuai Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic, dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar motosikal ditunggang Mohamad Azreen Anuar, 27, sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala anggota polis yang berkhidmat di Balai Polis Kuala Selangor itu.

Turut dilanggar dua pejalan kaki, Muhammad Irwan Abu Bakar, 19, yang mengalami kecederaan di kaki dan Azman Deraman, 37, yang tidak mengalami kecederaan.

Jenazah Mohamad Azreen dipercayai sudah dibawa ke kampungnya di Manjung, Perak untuk dikebumikan.

Berita Harian X