Jumaat, 21 Julai 2017 | 2:05pm
KOK Chee Boon didakwa pecah amanah melibatkan wang bernilai RM16 juta dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 2, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. - Foto - Foto Eizairi Shamsudin
KOK Chee Boon didakwa pecah amanah melibatkan wang bernilai RM16 juta dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 2, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. - Foto - Foto Eizairi Shamsudin

Pengarah syarikat didakwa terima deposit haram lebih RM16j

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat minyak pelincir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan menerima deposit lebih RM16 juta tanpa lesen, antara tahun 2014 dan 2015.

Kok Chee Boon, 34, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Boon didakwa menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM15,163,200 tanpa lesen sah di nombor 12A, Jalan PJU 3/45 Sunway Damansara Technology Park, Kota Damansara, di sini, di antara April hingga Disember 2014.

Chee Boon turut dituduh menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM998,000 tanpa lesen sah di Hong Leong Bank, Perdana The Place, Damansara Perdana, di sini, di antara Ogos hingga November 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM48,400 di UOB, cawangan Kota Damansara, Jalan PJU 5/8, Dataran Sunway, Kota Damansara, di antara Januari hingga November 2015.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta berserta cagaran dengan dua penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, di sini, Chee Boon mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan menggunakan wang milik seorang lelaki berjumlah RM220,560 di antara 2015 dan 2016.

Berdasarkan semua pertuduhan, Chee Boon didakwa menggunakan harta milik Wong Chun Kee, 40, yang dalam akaun Hong Leong Bank di Aerosia Holding Sdn Bhd, Jalan Puteri 1/2, Bandar Puteri Puchong, di sini, di antara 29 November 2015 dan 16 Februari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang sama seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen.

Mahkamah turut menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X