Jumaat, 21 Julai 2017 | 11:28am
TERTUDUH, Norzailan Omar ketika berada di pekarangan Mahkamah Majistret di Bahau, hari ini.

Tersenyum tawar, gelagat pemandu treler sebab 8 mati

BAHAU: Pemandu treler yang didakwa sebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol 11 Jun lalu, tersenyum tawar sambil menutup sebahagian mukanya ketika ditemui media di hadapan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, menetapkan 18 Ogos ini sebutan baharu terhadap Norzailan Omar, 44, selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan.

Keputusan itu dibuat berikutan pihak pendakwaan masih menunggu laporan kimia kes itu selain laporan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Majistret turut melanjutkan tempoh jaminan tertuduh sehingga kes itu disebut semula dan tiada pengakuan baharu direkodkan pada prosiding hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 15 Jun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Jelebu.

Norzailan dituduh memandu treler secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala hal keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu-lintas yang boleh dijangkakan atau mungkin ada di atas jalan itu sehingga menyebabkan kematian lapan orang pemandu serta penumpang yang menaiki dua kenderaan lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Selain itu, lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000.

Berita Harian X