Khamis, 20 Julai 2017 | 7:27pm

Polis maut dirempuh kereta terbabas

KUALA SELANGOR: Seorang konstabel polis maut manakala seorang pejalan kaki cedera parah selepas dirempuh kereta yang terbabas dipercayai dipandu lelaki positif dadah di Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Taman Murni, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam tadi, mangsa, Mohamad Azreen Anuar, 27, yang beralamat di Berek Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

KONSTABEL Mohamad Azreen Anuar. - Foto PDRM
KONSTABEL Mohamad Azreen Anuar. - Foto PDRM

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah, berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Civic berusia 34 tahun hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Klang ke Teluk Intan.

Kereta itu kemudian merempuh motosikal Honda EX5 mangsa dari belakang.

"Kereta itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar dua orang pejalan kaki dan sebatang pokok di bahu jalan itu.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala salah seorang daripada pejalan kaki itu, Muhammad Irwan Abu Bakar, 19, cedera pada kaki.

MAYAT mangsa ditutup dengan kain di tempat kejadian. - Foto PDRM
MAYAT mangsa ditutup dengan kain di tempat kejadian. - Foto PDRM

"Rakan mangsa pula, Azman Deraman, 37, tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan.

Ruslan berkata, pemandu kereta itu didapati meninggalkan lokasi selepas kemalangan dan tidak membuat laporan polis.

"Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan ditahan petang tadi dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah ecstasy," katanya.

Ruslan berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihaknya juga meminta saksi tampil membantu siasatan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi di talian 019-4757485 atau hadir di balai polis berhampiran.

Difahamkan, Mohamad Azreen yang menyertai polis sejak 12 April 2015 berkhidmat di Balai Polis Kuala Selangor ketika kejadian.

Berita Harian X