Khamis, 20 Julai 2017 | 7:07pm
KETUA Jabatan Jenayah Komersial KL, Mohd Luthfi Ismail Abdullah menunjukan barangan serta dokumen yang berjaya dirampas dari sindiket `Macau Scam' selepas sidang media di IPPKL. - Foto Yazit Razali
KETUA Jabatan Jenayah Komersial KL, Mohd Luthfi Ismail Abdullah menunjukan barangan serta dokumen yang berjaya dirampas dari sindiket `Macau Scam' selepas sidang media di IPPKL. - Foto Yazit Razali
ALAT yang digunakan oleh sindiket `Macau Scam' untuk mendapatkan taq nombor bagi transaksi internet selepas sidang media di IPPKL. - Foto Yazit Razali
ALAT yang digunakan oleh sindiket `Macau Scam' untuk mendapatkan taq nombor bagi transaksi internet selepas sidang media di IPPKL. - Foto Yazit Razali

10 ahli Macau Scam kena tahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan Macau Scam membabitkan kerugian RM3 juta dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Bandar Baru Seri Petaling dan menahan 10 ahlinya, Isnin lalu.

Dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 6 petang, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya set komputer, komputer riba, 52 telefon bimbit, 176 kad juruwang automatik (ATM) dan lima alat pindahan wang.

Selain itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM814 dan 695 yuan (RM440).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah, berkata 10 suspek yang ditahan itu terdiri daripada sembilan warga China termasuk seorang wanita dan seorang lelaki tempatan.

"Semua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an dan siasatan awal mendapati lelaki tempatan yang ditahan berperanan sebagai 'transporter' atau tukang angkut.

"Siasatan turut mendapati sindiket ini yang aktif sejak April lalu menyasarkan mangsa yang berada di negara China dan menjadikan apartmen berkenaan sebagai 'pusat operasi," katanya di sini, hari ini.

Modus operandi sindiket itu adalah dengan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis, pegawai mahkamah dan beberapa lagi penyamaran lain.

"Mangsa akan terima panggilan daripada ahli sindiket ini memaklumkan ada tunggakan bayaran pinjaman bank atau tunggakan kad kredit atau akaun bank mereka terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Ahli sindiket turut menyamar sebagai pegawai polis kononnya bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang bagi meyakinkan mangsa yang akaun bank mereka disalah guna kegiatan jenayah," katanya.

Siasatan mendapati ahli sindiket ini menerima upah antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang dan buat masa ini pihaknya masih menyiasat dalang sindiket itu.

"Semakan turut mendapati ada kalangan suspek pernah beberapa kali masuk ke negara ini sejak akhir 2015 dengan menggunakan pas pelajar dan pas lawatan sosial.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa. Semua suspek direman hingga Sabtu ini," katanya.

Selain itu, sebanyak RM5.7 juta kerugian akibat Macau Scam direkodkan berlaku di Kuala Lumpur sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Orang ramai dinasihatkan jangan mudah percaya apabila menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan mendakwa mereka mempunyai tunggakan bayaran pinjaman, kad kredit atau akaun mereka terbabit dengan jenayah.

"Sebaliknya jika terdapat masalah sedemikian, dinasihatkan untuk terus berurusan terus dengan pihak bank yang berkenaan dan tidak menyelesaikan masalah terbabit melalui atas talian," katanya.

Berita Harian X