KUALA KLAWANG: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh ibunya di Jempol, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada M Chinnammah, 52, dari Ladang Bukit Pilah, Rompin, Jempol, selepas jurubahasa membacakan tuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Chinnammah dituduh membunuh M Pichai, 70, di No 2, Pekan Jelai, Bahau, Jempol, antara jam 11.30 pagi hingga jam 5.20 petang, 30 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos ini.