Selasa, 18 Julai 2017 | 12:51pm

Bekas pegawai khas ADUN didakwa mencabul

GEORGETOWN: Bekas Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dari DAP, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mencabul seorang wanita pada 6 Julai lalu.

Tertuduh, L Prem Anand, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Catherine Nicholas.

Mengikut pertuduhan, Prem Anand didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang wanita berumur 21 tahun di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai di sini, kira-kira jam 11.30 malam pada 6 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau dua daripada mana-mana hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Catherine membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili tiga peguam iaitu Audrey Wee, S Rethina Kumar, dan E Gnasegaran, manakala pendakwaan dilakukan oleh Nurul Izzah Shahruddin.

BEKAS Pembantu khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Prem Anand hadir di Mahkamah Majistret 2 (Jenayah), Georgetown didakwa mencabul kehormatan seorang gadis berusia 21 tahun ketika bekerja sambilan di pusat hiburan di Lebuh Pantai, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Berita Harian X